Friday, December 11, 2009

PENUBUHAN UNIVERSITI MALAYA

Sebaik sahaja Suruhanjaya Maclean menerbitkan penyatanya pada 17 Jun 1939, dua institusi pengajian tinggi yang wujud di Singapura pada waktu itu iaitu Kolej Raffles dan Kolej Perubatan King Edward VII mendapat cadangan penggabungan bagi mewujudkan sebuah IPt baru yang dinamakan Kolej Universiti Malaya, walau bagaimanapun hasrat ini tidak dapat dilaksanakan kerana Perang Dunia Kedua meletus, dan Tanah Melayu menjadi tanah jajahan Jepun.

Pada tahun 1943, sekali lagi sebuah Suruhanjaya baru ditubuhkan untuk mengkaji penubuhan sebuah IPT bagi Malaya iaitu Suruhanjaya Asquith yang merealisasikan penubuhan Kolej Universiti Malaya (1943) dan pada tahun 1947 ekoran cadangan Suruhanjaya Carr Saunders, Kolej Universiti ini telah diluluskan menjadi sebuah universiti untuk Malaya. Pada 8 Oktober 1949 secara rasmi Universiti Malaya ditubuhkan melalui pengumuman yang dibuat oleh canselor Pertamanya Malcolm MacDonald di Dewan Kolej Raffles. Dalam perisytiharan itu, Malcolm MacDonald berkata :

"Marilah hari ini kita tubuhkan dengan baik dan tulus hati sebuah universiti, bagi menyalakan obor pengetahuan, obor kebenaran, obor kebajikan dan obor kecantikan turun temurun, menyatu padukan manusia dalam ikatan kasih mesra terhadap makhluk Tuhan"

Prof Carr Saunders mencadangkan tiga aliran utama Universiti Malaya yang hendak ditubuhkan, iaitu : Aliran sastera, Aliran Sains dan Aliran Perubatan. Antara tokoh Melayu terawal yang dapat melanjutkan pelajaran mengikuti pengajian Ijazah Sarjanamuda Sastera dalam bidang Sejarah ialah Arkitek Pendidikan Negara iaitu Dr. Aminuddin Baki. Setelah lulus cemerlang dari UM dalam bidang Sejarah beliau menjadi alumni UM yang cemerlang ditawarkan biasiswa Queen ke UK (1951-1952). Demikianlah asal mula kewujudan UM. Sejak Aminuddin Baki, ramai tokoh negara dalam pelbagai bidang lahir dari UM. Memang UM sebuah institusi warisan penting pendidikan Negara, dulu, kini dan selamanya.

Raphael

No comments:

Post a Comment