Tuesday, January 26, 2010

MEMELIHARA KEHARMONIAN BANGSA MALAYSIA

Seruan demi seruan ke arah perpaduan merupakan agenda yang sudah lama bertapak dalam lipatan Sejarah pembentukan Negara Bangsa sejak pembentukan Negara Islam Madinah lagi. Pidato baginda RasululLah s.a.w ketika pembukaan Kota Makkah juga menyeru dengan jelas agenda perpaduan ummah yang  menyediakan sebuah negara berkebajikan untuk semua lapisan masyarakat dan mengiktiraf peranan setiap kaum dalam membangunkan negara.
Dalam konteks Negara Malaysia, agenda perpaduan menjadi resam yang sebati dalam pelbagai bidang kehidupan dan kerananya jugalah Malaysia terus bertahan sebagai negara majmuk yang bebas daripada konflik dan kekacauan antara kaum dan agama. Peristiwa 13 Mei 1969 telah memberi kita pengajaran bermakna tentang kepentingan perpaduan dan kerjasama antara kaum.
Pembangunan Malaysia dari dekad ke dekad dibangunkan atas dasar persefahaman erat antara seluruh warganegara tanpa mengira kaum dan asal usul mereka. Bangsa Malaysia sebagaimana yang dinyatakan oleh Tun Mahathir ialah "Satu bangsa yang diikat oleh ikatan ketatanegaraan yang bekerjasama membangunkan negara sebagai satu syarikat". Ertinya, kekuatan bangsa Malaysia adalag gandingan tenaga pelbagai kaum yang saling mempertahankan tradisi dan resam masing-masing tetapi dalam masa yang sama memperkukuhkan identiti negara dengan unsur kepelbagaian.
Tiada salah mempertahankan adat dan tradisi masing-masing kaum, kerana kelebihan inilah juga yang membezakan Malaysia dari negara-negara lain di dunia. Dengan kekuatan kepelbagaian budaya, serta sikap tolak ansur antara kaum, Malaysia dapat dibangunkan dengan penuh cemerlang dan cepat melonjak ke arah kemajuan. Pengisian kemerdekaan telah dapat dilaksanakan dengan baik.
Sejarah kehancuran Melaka akibat perbalahan kaum  perlu dijadikan iktibar. Perbalahan sesama kita hanya merupakan api dalam sekam yang akan menghancurkan seluruh puing-puing pembangunan yang telah ditegakkan. Semuanya ini harus dielakkan, perhatian dan pertimbangan untuk kemaslahatan seluruh rakyat dan penyatuan bangsa patut menjadi agenda utama setiap daripada kita semua.
Anugerah dan nikmat keamanan, kesejahteraan dan keharmonian yang menjadi kayu ukur kejayaan Malaysia perlulah terus dipertahankan dan diperkukuhkan. Melestarikan makna Satu Malaysia ke dalam seluruh jiwa rakyat hingga menghapuskan syak wasangka dan prejudis adalah inisiatif terbaik. Tempoh 53 tahun kemerdekaan negara sudah semestinya mematangkan kita untuk membuat keputusan dan mengambil jalan penyelesaian. Marilah sama-sama kita renung dan fikirkan.

No comments:

Post a Comment