Tuesday, November 3, 2009

ISU REMAJA MASA KINI DALAM PERSPEKTIF SEJARAH

Remaja masa kini memang bertuah kerana hidup sebagai anak merdeka, dengan keadaan politik negara yang stabil dan keadaan ekonomi yang tidak meruncing. Perubahan ini, justeru telah mengubah selera dan cara hidup masyarakat Melayu yang pernah suatu ketika menjadi benteng dan teras hidup masyarakat Melayu pada masa dahulu.

Jika diimbas kembali pada tahun-tahun 70-an, apabila generasi h/p dan wi fi belum lagi muncul, unsur kekerabatan dan kawalan sosial ahli keluarga masih utuh dan erat. Golongan remaja pada waktu itu tidak mempunyai keberanian untuk melakukan sesuatu menurut kehendak hati mereka, tetapi sentiasa menuruti kata dan perintah ibu bapa. Hal ini disebabkan pengaruh luar yang hendak menarik remaja itu tidak pernah berlaku, kalau pun ada hanya TV, radio, akhbar dan vcd. Pada masa itu, akses pornografi sukar sekali ditembusi. Sesuatu petempatan pula selalunya mempunyai perkaitan persaudaraan malah jiran boleh menegur anak jiran lain.

Masalah kronik generasi muda hari ini bermula dengan pengaruh luaran kemudian ditambah pula dengan kehidupan keluarga yang centang perenang, belenggu kemiskinan dan inginkan keseronokan. Dunia tanpa sempadan, sejak permulaan alaf baru menyaksikan anak-anak muda kita benar-benar telah terherumus dalam perangkap barat bagi melemahkan bangsa timur, yang merdeka fizikal tetapi terbelenggu hati dan pemikiran.

Sejarah telah menyatakan kelicikan barat dan kemajuan mereka dalam R & D malah, dalam buku The Prince karangan Niccolo Machiavelli yang mendorong perlakuan tidak bermoral asalkan mencapai matlamat, telah mempengaruhi golongan muda kita, apatah lagi perlakuan itu dianggap menyeronokkan dan memberi kebebasan.

Sayang sekali, negara kita yang merdeka tidak diisi oleh anak-anak muda yang berhati waja, berjiwa patriotik, cintakan ilmu dan berhati mulia, sebaliknya mereka menjadi sampah, tunggang langgang dan merosakkan masyarakat. Apakah kesudahannya? Hanya ilmu dan kebijaksaan yang akan menentukan.

No comments:

Post a Comment