Tuesday, November 3, 2009


Tarian Zapin (Jawi:زافين)

Tarian Zapin adalah tarian yang popular di Johor dan menjadi identiti rakyatnya sejak dahulu lagi. Tarian ini dikatakan berasal dari Yaman kemudian berkembang ke Nusantara bermula di Semenanjung Tanah Melayu, Brunei dan Indonesia dengan beberapa aspek pengubahsuaiannya, maka lahirlah kategori Tarian Zapin, iaitu : Zapin Arab, Zapin Johor, Zapin Lenga, Zapin Pekan dan Zapin Tengku. Tarian ini tangkas dan pergerakannya menarik, apatah lagi jika rentak tari yang ditunjukkan berlaku serentak dan bersama-sama dalam suatu kumpulan penari yang memakai kostum Melayu indah dan senyuman manis menawan, memang mempesonakan sesiapa sahaja yang menonton tarian ini. Sebab itulah ketika rombongan penari TDC mempersembahkan Tarian Zapin di London dan Brussels, pencinta seni di sana memuji keindahan dan keunikan Tarian Zapin.

Di Brunei, tarian Zapin disebut Jipin dan terbahagi kepada dua yang popular iaitu Jipin Laila Sembah dan Jipin Tar. Tarian ini dibawa oleh mubaligh dan pedagang Arab Yaman yang datang ke pelabuhan Brunei, ketika pemerintahan Sultan Sharif Ali. Zapin bermaksud : Pergerakan kaki cepat mengikut rentak pukulan. Kadang-kadang tarian ini dikaitkan dengan upacara pertabalan atau keagamaan.

No comments:

Post a Comment