Sunday, November 1, 2009

Kesedaran Tentang Sejarah

Sejarah didakwa berasal dari maksud "his story" iaitu cerita dia, ada pula yang menganggap Sejarah berasal daripada bahasa Arab yang berakar dari kata-kata Syajaratun iaitu Salasilah keturunan. Apa pun juga tanggapan dan anggapan, Sejarah menceritakan tentang kehidupan manusia, apa yang berlaku, kenapa mereka bertindak dan alasan mereka berbuat demikian. Sejarah bukan sekadar dipelajari untuk lulus periksa, tetapi makna dan nuansanya terlalu luas dan mendalam, memberi erti kepada kehidupan, menjadi panduan dan iktibar untuk sebuah perjalanan hidup. Dengan mengintai dan menoleh kepada Sejarah kita dapat menghindarkan diri daripada melakukan kesilapan serupa, malahan Sejarah membawa kita untuk memahami jerih payah perjuangan tokoh-tokoh bangsa dalam memartabatkan jatidiri dan membangunkan negara bangsa, lebih daripada itu kita dapat mengenal tamadun dan peradaban melalui Sejarah.

Tetapi timbul persoalan. Kenapalah anak remaja selalu meminggirkan Sejarah?
Kenapalah pelajar selalu menganggap Sejarah sebagai matapelajaran yang tidak digemari?

Persoalan ini berkait erat dengan pemikiran, iaitu mind set yang telah tertanam sejak lama tentang kepentingan Sains dan Teknologi hingga melihat subjek yang penuh dengan tahun, nama-nama, kisah-kisah silam dan artifak-artifak lama sebagai mata pelajaran klasik yang ketinggalan zaman, apatah lagi membicarakan mereka yang telah tiada dan tamadun yang telah lenyap, tetapi sedar atau tidak, apabila kita menafikan Sejarah, bererti kita menafikan keberadaan diri kita sendiri di maya pada ini, kerana kelahiran kita, kehidupan kita, kejayaan kita dan kenangan panit manis yang kita lalui adalah Sejarah.

Untuk mengetahui dan mengenal diri kita, negara, peradaban bangsa dan susur galur keturunan asal kita, semuanya adalah suatu rentetan Sejarah yang panjang, penuh berliku dan menarik untuk ditelusuri. Cubalah jadikan diri kita berjiwa kemanusiaan untuk mengangkat martabat bangsa pada masa depan. Sejarah mempunyai kedudukan yang tersendiri sebenarnya dalam kehidupan kita, sama juga seperti disiplin ilmu lain seperti Sains, Matematik, Falsafah dan sebagainya. Kita mengenal melalui Sejarah, kita bertindak melalui Sejarah dan kita beragama juga melalui Sejarah.

Pelajari Sejarah untuk mengetahui, menyelidik, mencungkil maklumat, mencari bukti, membuat resolusi dan menyelesaikan masalah. Pada ketika itu kita akan mempunyai kesedaran tentang kepentingan Sejarah.

No comments:

Post a Comment