Monday, November 2, 2009

PENGAJIAN TINGGI DI MALAYSIA

Di Malaysia terdapat enam universiti awam yang paling berprestij dan dapat dianggap mercu tanda kecemerlangan ilmu dan penyelidikan di negara kita, iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Uniersiti Sains Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Semuanya terletak di pantai Barat.

Pengkorporatan universiti dan usaha menaiktaraf kolej-kolej universiti serta penglibatan pihak swasta dalam membangunkan pendidikan Malaysia, menjadikan bidang pengajian tinggi bukan lagi hak monopoli kerajaan malahan bersaing dalam situasi yang terbuka dengan menawarkan pelbagai kursus dan program-program baru yang diiktiraf oleh Malaysia Qualification Acredition (MQA). Selalunya bidang yang ditawarkan memenuhi kehendak pasaran kerja dan keperluan industri.

Dalam keadaan ini, kita menyaksikan ilmu-ilmu sains sosial kian terpinggir manakala kuliah berkaitan ilmu-ilmu teknikal, sains dan teknologi terus berkembang dan mendapat tempat. Untuk memenuhi keperluan ini, banyak kolej Universiti telah diwujudkan dan universiti baru ditubuhkan dengan sasaran setiap negeri mempunyai sebuah universiti. Hingga kini, bermula dari Perlis hingga ke Sabah kita melihat semua negeri memiliki Universiti dan Institusi Pengajian Tinggi. Bermula daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kolej Insaniah, Kedah, Kolej Islam Perak, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan, Universiti Tun Hussein Onn (Asalnya KUITTHO), Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Tun Abdul Razak, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Darul Iman (UDIM), Terengganu, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Dalam erti kata lain, setiap negeri telah mempunyai sekurang-kurangnya sebuah universiti. Penglibatan sektor korporat seperti Telekom, Petronas, TNB telah menyediakan banyak peluang pendidikan kepada generasi muda negara mendapatkan ilmu dan kepakaran. Pencapaian ini bolehlah dibanggakan namu masih perlu diperbaiki, kerana asas yang perlu dilihat bukan hanya kuantiti tetapi kualiti lulusannya. Kita tak mahu menjadi tercorot dalam kalangan universiti-universiti serantau. Kita harus mengkaji formula kejayaan Universiti Nasional Singapura yang terus kekal unggul.

USAHA MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU PERLULAH KEMBALI KEPADA LANDASAN SEJARAH

Sepanjang bulan oktober ini kita mendengar dan dicanangkan dengan ura-ura untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai sabahasa pemersatu, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar ilmu. Namun semuanya itu harus sejalan dengan teladan dan panduan. Dalam pada kita ingin memperkasakan bahasa Melayu, kita melihat semua laman web masih lagi menggunapakai nama Bahasa Inggeris, malahan agensi yang dahulunya dalam Bahasa Melayu ditukar kepada Bahasa Inggeris, contohnya Lembaga Akreditasi Negara (LAN) menjadi MQA dan sebagainya.

Kita masih belum dapat mengikis rasa kagum kepada Barat, sepertimana bangsa Jepun, Korea dan Cina. Kita masih menganggap diri kita lemah dan barat maju serta kuat. Minda seperti ini merosakkan usaha membangunkan bangsa dan membentuk jatidiri. Apa yang datang daripada Barat semuanya dianggap perfecto manakala hasil buatan kita, budaya bangsa dan bahasa kita sendiri diperlekehkan. Bukan oleh orang lain, tetapi oleh bangsa sendiri.

Mengangkat martabat bahasa sekaligus akan mengangkat martabat bangsa. Ini telah diakui oleh tokoh-tokoh bahasa, sebab itulah slogan "Bahasa Jiwa Bangsa" perlu dihayati sepenuhnya. Golongan remaja dan anak muda yang telah khayal dengan dunia sms, ict dan siber perlu kembali diarahkan untuk berani berdebat, berhujah dan memikirkan persoalan yang lebih serius melalui penggunaan bahasa yang betul dan tepat.

Raphael

No comments:

Post a Comment